Dua faktor kes tinggi di Sabah

KOTA KINABALU 6 Feb. – Dua faktor menyebabkan Sabah terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 yang tinggi hari ini dengan 1,285 kes, kata Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan Covid-19 Masidi Manjun.

Faktor pertama, virus sudah berada dalam komuniti dan memudahkan kadar perebakan serta jangkitan lebih cepat dan kedua adalah sikap cuai atau tidak peduli segelintir masyarakat kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Sebagai contoh, katanya pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sudah semakin longgar sekali gus memudahkan jangkitan Covid-19.

“Selain itu, tertakluk kepada pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes-kes baharu yang melambung tinggi sejak seminggu ini berkemungkinan disebabkan varian Omicron yang lebih cepat merebak.

“Kadar perebakan varian Omicron merupakan varian dominan di negara jiran Filipina adalah 1.8 lebih cepat daripada varian biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 47.55 peratus jangkitan baharu hari ini berlaku secara sporadik dan hanya disedari apabila pesakit mengalami gejala jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, terdapat empat daerah mencatatkan kes tiga angka dengan Kota Kinabalu melepasi paras 300; Sandakan 201 kes dan Tuaran 150 kes serta Penampang 108 kes.

Sejumlah 1,276 daripada 1,285 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 manakala  lima kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.

Related posts

Leave a Comment