Kes harian tertinggi tahun 2022

PUTRAJAYA 6 Feb. – Dalam tempoh enam hari pertama bulan ini, angka kes positif harian Covid-19 di negara ini kembali ke lima angka apabila sebanyak 10,089 kes dilaporkan setakat tengah hari tadi.

Bermula dengan 5,566 kes pada 1 Februari diikuti 5,736 dan 5,720, angka itu terus meningkat kepada 7,234 pada 4 Februari dan semalam 9,117.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan berkata kes yang dikesan hari ini menyumbang kepada sejumlah 2,914,220 kes positif Covid-19 di Malaysia setakat ini.

Katanya, daripada 10,089 jangkitan baharu itu, sebahagian besarnya melibatkan pesakit Kategori 1 dan 2 dengan 10,012 kes atau bersamaan 99.2 peratus manakala, baki 77 kes merupakan pesakit Kategori 3,4, dan 5.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika ini, Unit Rawatan Rapi (ICU) menempatkan 137 pesakit dan daripada jumlah itu, 71 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Malaysia turut merekodkan jumlah kes sembuh sebanyak 6,460 dengan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 2,812,614.

Sementara itu, Selangor melaporkan jumlah kes tertinggi untuk hari ini, dengan 2,549 dilaporkan, diikuti Johor dengan 1,582 kes dan Sabah pada 1,285 kes.

Kedah pula melaporkan sebanyak 904 kes positif hari ini, Pahang (624 kes) dan Pulau Pinang dengan 542 kes.

Negeri lain masih merekodkan bilangan kes bawah 500 iaitu Kuala Lumpur dengan 491 kes; Kelantan (471); Negeri Sembilan (464); Melaka (457); Perak (321); Terengganu (213); Putrajaya (61); Sarawak (58); Perlis (44); dan Labuan dengan 23 kes.

Related posts

Leave a Comment