Kes harian tertinggi tahun ini

BANGKOK 3 Feb. – Jumlah kes jangkitan Covid-19 di Thailand terus menunjukkan peningkatan dengan merekodkan 9,172 kes, berbanding 8,586 semalam dan angka hari ini merupakan yang tertinggi untuk tahun ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, sebanyak 21 kematian harian direkodkan, kurang satu kes berbanding 22 yang dilaporkan semalam dan umur mereka yang meninggal dunia antara 38 hingga 92 tahun.

Salah seorang yang meninggal dunia, wanita mengandung 28 minggu yang belum divaksin, 11 kematian juga tidak divaksin, yang lain hanya satu dos dan lima lagi mendapat dos kedua empat bulan lalu.

Terdapat 8,889 kes baharu dalam kalangan penduduk awam, 61 penghuni penjara dan 222 kes import.

Bangkok masih mendahului kes harian tertinggi iaitu 1,432, diikuti Samut Prakan 854, Chon Buri 399, Phuket 395, Nonthaburi 324, Nakhon Si Thammarat 194, Maha Sarakham 193, Pathum Thani 179 dan 175 kes masing-masing di Si Sa Ket dan Rayong.

Sebanyak 222 kes import pula termasuk 104 kes dari Rusia, 13 dari Ukraine dan 12 dari India.

Semalam, Rabu, sebanyak 84,413 orang menerima rawatan Covid-19 di hospital termasuk 517 pesakit kritikal dan 107 bergantung kepada ventilator manakala 7,832 pesakit dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Sejak pandemik bermula awal tahun 2020, terdapat 2,465,723 kes Covid-19 termasuk 242,288 kes tahun ini di mana 2,359,082 dilaporkan sembuh.

Jumlah kematian pula seramai 22,228 sejak bermulanya pandemik termasuk 530 setakat ini pada tahun ini.

Mengikut rekod kematian tertinggi dicatatkan adalah pada 13 Ogos 2021 dengan 312 kematian manakala kes tertinggi pula adalah pada 18 Ogos 2021 yang merekodkan 23,418.

Related posts

Leave a Comment