Kes akan naik, jangan panik

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan kadar kes harian Covid-19 akan meningkat mendadak dalam tempoh singkat, berikutan varian Omicron, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Kes akan meningkat, malah berkemungkinan secara mendadak dalam tempoh singkat kerana kita sudah ada Omicron di Malaysia yang mempunyai kebolehjangkitan tinggi,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Hospital Tunku Azizah (HTA), di sini hari ini, Khairy

berkata keadaan sama turut dialami di pelbagai negara, berpunca daripada kebolehjangkitan tinggi Omicron.

Katanya, kementerian akan terus memantau perkembangan semasa dan data terpenting seperti kemasukan ke hospital, ICU dan pesakit kategori 4 serta 5 kerana kalau lihat kes saja, sudah pasti akan menimbulkan kerisauan..

“Malah, ia (kadar kes harian) akan mungkin sampai lebih daripada jumlah yang direkodkan dalam tempoh seminggu lalu.

“Tetapi, kita jangan panik kerana sudah berada di tahap masyarakat terima hakikat Malaysia perlu hidup dengan Covid-19 dan liputan vaksin antara tertinggi di dunia,” katanya.

Khairy berkata, kementerian sedang melakukan perolehan bagi mendapatkan ubat antiviral Paxlovid untuk kegunaan di Malaysia, khususnya golongan berisiko, rentan dan mempunyai komorbiditi.

Katanya, pengurusan wabak dan pesakit Covid-19 di Malaysia mencatatkan perkembangan positif dalam tempoh singkat apabila kebanyakan penghidap virus itu hanya ditempatkan di rumah, bagi tujuan pengasingan.

“Ini suatu pencapaian memberangsangkan dan dengan Paxlovid, kita akan dapat terus kurangkan bebanan di sektor perkhidmatan kesihatan awam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment