Kes Malaysia masih lepasi 5,000

PUTRAJAYA 3 Feb. – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan 5,720 kes positif baharu Covid-19, setakat tengah hari ini.

Jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 5,736 semalam, angka tertinggi untuk tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 2,887,780.

Daripada kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 5,590 kes positif baharu adalah penularan tempatan membabitkan seramai 5,405 warganegara atau 96.7 peratus dan 185 individu lagi bukan warganegara atau 3.3 peratus.

Sebanyak 130 kes import dilaporkan iaitu 69 warganegara dan 61 bukan warganegara.

Daripada 5,720 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 43 kes atau 0.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 5,677 kes atau 99.2 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Sebanyak 114 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 56 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan turut mengesan 15 kluster jangkitan baharu Covid-19 hari ini.

Ini menjadikan jumlah kluster kini mencecah 6,457 kluster, dengan 6,125 kluster sudah ditamatkan dan 332 masih lagi aktif.

Sementara itu, sebanyak 3,968 kes sembuh turut dilaporkan hari ini, menyumbang kepada sejumlah 2,794,354 kes kumulatif, atau 96.8 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan setakat hari ini.

Related posts

Leave a Comment