Masjid Singapura laksanakan VDS

SINGAPURA 2 Feb. – Masjid-masjid di Singapura mulai semalam melaksanakan langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS) bagi semua aktiviti ibadah berjemaah.

Dengan pelaksanaan VDS itu, hanya jemaah yang sudah divaksinasi penuh boleh menyertai ibadah berjemaah, sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat.

Bagaimanapun jemaah masih boleh menunaikan ibadah individu di luar waktu solat berjemaah, tidak kira status vaksinasi mereka dengan solat secara bersendirian di luar waktu solat jemaah.

Ada juga masjid menyediakan ruang solat dan tempat wuduk berasingan bagi jemaah yang tidak divaksinasi.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebelum ini menjelaskan mereka yang tidak dapat divaksinasi atas sebab perubatan, mereka yang sudah pulih daripada Covid-19, serta kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, dikecualikan daripada peraturan VDS itu.

Menurut MUIS pihaknya secara bertahap bersiap sedia bagi pelaksanaan penuh VDS sejak dua bulan lalu.

Kesemua 66 masjid yang menawarkan solat berjemaah berjalan dengan lancar sejauh ini, dengan kebanyakan jemaah telah divaksinasi sepenuhnya.

Langkah VDS akan turut dilaksanakan bagi solat Jumaat minggu ini (4 Februari) dan mereka yang layak boleh menempah slot di kesemua 66 masjid.

Sebanyak 65,182 ruang akan ditawarkan bagi solat Jumaat setiap minggu, berbanding lebih 64,000 sebelum ini.

Sabtu lalu, Pejabat Mufti juga telah mengeluarkan irsyad (panduan) terkini mengenai solat berjemaah di masjid, termasuk keringanan atau rukhsah untuk tidak menunaikan solat Jumaat bagi dua golongan.

Menurut MUIS walaupun hukum solat Jumaat kekal wajib, keringanan untuk tidak menunaikan solat Jumaat masih wujud bagi dua golongan berdasarkan perkembangan terkini situasi pandemik Covid-19.

Dua golongan ini adalah mereka yang sudah lengkap divaksin tetapi tidak berjaya menempah slot untuk menunaikan solat Jumaat disebabkan keterbatasan ruang dan individu yang tidak layak menerima vaksin atas sebab-sebab kesihatan.

Mereka yang belum divaksin disebabkan masalah kesihatan perlu menggantikan solat Jumaat berjemaah dengan solat zuhur demi keselamatan mereka dan juga jemaah lain.

Ini kerana kehadiran mereka di perhimpunan besar akan menimbulkan risiko kemudaratan kepada diri mereka dan orang lain.

MUIS juga menggesa muslimin untuk berusaha mengambil langkah wajar bagi menunaikan solat Jumaat termasuk memastikan status vaksinasi yang lengkap dan mendaftar diri setiap Jumaat bagi mendapatkan ruang solat.

FOTO hiasan dari Masjid Yusof Ishak)

Related posts

Leave a Comment