Varian Omicron semakin dominan

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesan subvarian Omicron yang mudah berjangkit, di mana beberapa kajian menunjukkan ia mungkin lebih berjangkit berbanding versi asal yang kini dikesan di 57 negara.

Menurut WHO, varian Omicron yang cepat menular dan sudah melalui banyak mutasi, semakin menjadi varian dominan di seluruh dunia sejak ia pertama kali dikesan di Afrika Selatan 10 minggu lalu.

Dalam kemas kini epidemiologi mingguannya, WHO menyatakan varian tersebut yang membentuk lebih 93 peratus daripada semua spesimen koronavirus yang dikumpul pada bulan lalu, meliputi beberapa varian lain iaitu BA.1, BA.1.1, BA.2 dan BA.3.

BA.1 dan BA.1.1 – iaitu versi pertama yang dikenal pasti – masih membentuk lebih 96 peratus daripada semua jujukan Omicron yang dimuat naik ke inisiatif sains global mengenai perkongsian data demam selesema GISAID, tambahnya.

Bagaimanapun terdapat kenaikan ketara dalam kes jangkitan melibatkan BA.2, yang meliputi beberapa mutasi berbeza daripada varian asal, termasuk protein di permukaan virus dan penting untuk menembusi sel manusia.

Menurut WHO, jujukan BA.2 dihantar kepada GISAID dari 57 negara setakat ini dan di sesetengah negara, subvarian itu kini membentuk lebih separuh daripada kesemua jujukan Omicron yang terkumpul.

WHO menyatakan ketika ini tidak banyak yang diketahui mengenai perbezaan antara subvarian itu manakala beberapa kajian terbaru memberi gambaran bahawa BA.2 lebih mudah berjangkit berbanding varian asal Omicron.

Related posts

Leave a Comment