AS sumbang 400 juta dos vaksin

WASHINGTON: Amerika Syarikat sudah menghantar 400 juta dos vaksin Covid-19 sebagai sebahagian daripada ikrarnya sebelum ini untuk menyumbang sekitar 1.2 bilion dos kepada negara-negara berpendapatan rendah.

Penyelaras Covid-19 Rumah Putih Jeff Zients dalam taklimat media semalam (Rabu) berkata, sebanyak 112 negara menerima dos vaksin Covid-19 itu secara percuma dan tanpa syarat.

Ini termasuk 3.2 juta dos vaksin Pfizer Inc dan BioNTech SE yang dihantar kepada Bangladesh dan 4.7 juta dos vaksin kepada Pakistan.

Pentadbiran Biden sebelum ini berikrar untuk mendermakan kumpulan kedua sebanyak 500 juta dos kepada program perkongsian vaksin global COVAX, menaikkan keseluruhan jumlah dos yang diikrarkan kepada sekitar 1.2 bilion dos.

Para pakar kesihatan global sebelum ini berkata bahawa sekurang-kurangnya lima bilion hingga enam bilion dos vaksin diperlukan oleh negara-negara miskin untuk membantu  melindungi mereka daripada koronavirus di tengah-tengah pandemik ini.

Secara keseluruhan, COVAX yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Perikatan Global bagi Vaksin dan Imunisasi (Gavi) sudah menghantarkan lebih satu bilion dos kepada 144 negara dan menyasarkan untuk mencapai 70 peratus perlindungan vaksinasi Covid-19 menjelang pertengahan tahun ini.

Related posts

Leave a Comment