RFID : Ubahlah secara ‘berhemah’

DI kawasan perumahan saya, Laman 2 Bandar Seri Putra, dekat Kajang, keluar masuk di pintu kawalan keselamatan bagi penduduk dan pelawat menggunakan empat kaedah.

Pertama, kad akses tanpa sentuh (umpama Smart Tag), kedua turun kenderaan (penduduk tidak bayar yuran) tekan butang palang,  ketiga sistem ala RFID (dikenali UHFID) dan keempat  palang ‘dibuka’ oleh pengawal (Pelawat/Grab/Panda/urusan pos).

Maknanya, sistem ala RFID (Radio Frequency IDentification) juga digunakan di kawasan perumahan awam bagi kemudahan dan keselesaan penduduk yang menjelaskan yuran keahlian. Setiap satu UHFD berharga RM30.

Bezanya ‘gate palang’ persatuan penduduk memberi empat pilihan kepada pengguna. Berbanding di plaza tol, pilihan akan datang hanyalah RFID. Suka atau tidak RFID sudah bermula di 83 plaza tol sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan.

Perlahan-lahan kaedah Touch ‘n Go (TNG) dan Smart Tag (ST) yang ketika ini lebih ‘mesra pengguna’ akan berakhir. Sama seperti berakhirnya era buka tingkap bayar tol.

Sudah lumrah, sesuatu sistem baharu yang diperkenalkan akan menimbulkan pertikaian walaupun matlamat akhirnya untuk kemudahan – tol tanpa palang, tanpa perlahankan kenderaan untuk menjelaskan tol yang dikatakan punca kesesakan.

Pertikaian yang sedang berlaku mungkin kerana pihak berkenaan tidak mengambil kira pandangan dan rungutan pengguna serta masalah yang akan timbul sehingga sistem itu dianggap menyusahkan, membebankan dan pelbagai lagi.

Hakikatnya promosi RFID sudah lama dilakukan tetapi tidak meluas sehingga pengguna tiba-tiba seperti dikejutkan dari lamunan.

Sebaik sahaja mencelikkan mata, pengguna mahu melihat perubahan sistem tidak akan ada kesesakan. Ramai juga yang mengambil sikap tunggu dan lihat walaupun pengguna akhirnya bukannya terpaksa tetapi  ‘dipaksa’ menerima perubahan.

Bagaimanapun perubahan tidak berhemah ini menggusarkan pengguna. Kesesakan akan berlaku apabila lorong yang disediakan tidak mencukupi selepas lorong TNG dan ST bertukar kepada RFID. Akhirnya RFID dijadikan ‘kambing hitam’.

Kajian atau tinjauan sepatutnya dilakukan di sesuatu kawasan plaza tol sama ada berkaitan kepadatan penduduk, bilangan kenderaan, peratusan penggunaan TNG, ST dan RFID serta keutamaan laluan yang lebih mendesak.

Apabila RFID diperkenalkan, pengguna juga seolah-olah terbeban kerana terpaksa ‘membuang’ ST atau menyimpan di ‘muzim rumah’ masing-masing yang harganya  mencecah RM100 (peringkat awal). Maknanya RM100 yang dilaburkan hilang.

Begitu juga kad TNG yang dibeli pada harga sekurang-kurangnya RM5 sekeping akan disimpan sebagai kenangan. Sekarang keluar modal lagi untuk mendapatkan teknologi baharu iaitu  RFID.

Mungkin ‘tekanan’ yang dirasai pengguna akan berkurangan jika pemilik TNG dan ST mendapat bayaran ganti rugi atau diskaun yang berpatutan.

Seperti di kawasan perumahan saya, apabila diperkenalkan kad akses baharu di bawah program naik taraf, setiap kad akses lama yang ada dalam simpanan penduduk akan diganti dengan kad baharu tanpa bayaran. Kecuali pemilik kad klon.

Mungkin itu caranya mengambil hati pengguna bak kata orang seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

Siapa pun akan marah dan merungut apabila keluar pagi untuk bekerja sampai di plaza tol terpaksa beratur panjang gara-gara laluan yang biasa digunakan setiap hari dikhaskan untuk RFID yang belum diuji kecekapan dan keberkesanannya.

Begitu juga dengan rungutan apabila setiap kenderaan perlu membeli pelekat RFID ini. Setiap orang dalam keluarga Abah, Pak Long dan Pak Ngah yang ada kenderaan perlu memasang RFID sendiri. Tiada lagi pinjam-meminjam TNG atau ST.

Jika dulu Abah boleh pinjam TNG atau ST Pak Long, hari ini masing-masing perlu pasang RFID di kenderaan sendiri. Itulah ‘kelemahan dan rungutan sementara’ yang berlaku dalam kalangan pengguna ST atau TNG. Isu ini remeh tapi dijadi alasan.

Begitu juga jika RFID rosak, kereta dijual, maka perlu beli yang baharu. Itu sahaja rungutan yang timbul pada masa kini, ketika pengguna dalam ‘keadaan marah’.

Hari ini, setiap sen yang dikeluarkan amat bernilai hatta sekeping kad TNG RM5.

Sama ada dianggap kedekut atau tidak ambil peduli, suatu masa dulu ketika TNG dan ST diperkenalkan, ada pemilik kenderaan ‘besar dan mewah’ yang sanggup beratur panjang untuk membayar tol melalui tingkap.

Bagi pemilik kenderaan ‘besar’ ini, umpama sanggup membeli seekor lembu untuk disembelih tetapi tidak mampu membeli seguni bawang atau ramuan untuk menyedapkan masakan lembu berkenaan.

Sehinggalah mereka ‘insaf’ dan akhirnya akur dengan peraturan yang memaksa mereka membeli TNG atau ST bagi melancarkan perjalanan.

Hakikatnya lambat laun teknologi baharu perlu diterima, sama seperti suatu masa dahulu –  buka tingkap ambil tiket dan buka tingkap bayar tol, disusuli kemudiannya sentuh dan jalan (TNG) dan akhirnya pandu pecut (ST).

Justeru, perubahan perlu dilakukan secara berhemah supaya semua pihak berada dalam situasi menang-menang bukan pengguna sahaja yang rugi manakala pembekal berterusan mengaut untung walaupun keuntungan sekecil RM0.50.

Bayangkan setiap kenderaan di negara ini memasang RFID. Berapa jumlahnya?

Related posts

Leave a Comment