Masjid di Perlis rapatkan saf

ARAU 6 Jan. – Semua masjid di seluruh Perlis akan mula solat berjemaah dengan merapatkan saf, mengikut kadar jarak sejadah masing-masing berdasarkan saiz sejadah standard dan tidak berlaku sentuhan fizikal.

Kebenaran ini yang berkuat kuasa mulai solat Subuh Sabtu ini adalah kepada masjid sahaja, manakala surau atau tempat solat umum atau awam ‘kekal tidak dibuka’ (solat berjemaah merapatkan saf).

Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), keputusan itu mendapat limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa Covid-19 di negeri ini.

Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara penelitian itu adalah, peratusan tinggi vaksinasi lengkap dan peningkatan dos penggalak yang mencapai 16.9 peratus atau 30,575 penerima pada 2 Januari lalu.

Begitu juga dengan penularan wabak di Perlis berada dalam keadaan terkawal.

“Sehubungan itu, baginda mempertimbang dengan penuh hikmah dan teliti serta menilai dengan penuh bijaksana dan berhati-hati dalam menjalankan tanggungjawab Raja Pemerintah dan Ketua Agama Negeri,” titah baginda.

Manakala surau atau tempat solat umum atau awam kekal tidak dibuka (solat berjemaah merapatkan saf). Ini termasuk surau atau tempat solat di agensi, institusi, maahad tahfiz dan sebagainya kecuali dengan kebenaran khas MAIPs dan melalui Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

Menurut kenyataan itu lagi, jemaah yang tinggal serumah tidak terikat dengan syarat jarak ikut saiz sejadah dan sentuhan fizikal.

Bagaimanapun dari segi pengekalan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, ia hendaklah kekal dipatuhi pada setiap masa ketika selesai solat, mendengar kuliah dan sepanjang tempoh berada di masjid.

“Pematuhan SOP masih perlu diteruskan seperti kekal melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, memakai pelitup separuh muka dan digalakkan pelitup muka jenis N95 atau K95 serta memakai dua pelitup muka atau ‘double face mask’ yang ditambah baik dengan pemakaian pelindung muka atau ‘face shield’.

Jemaah juga masih perlu membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke masjid, mengimbas suhu badan dan merekodkan penjejakan sosial dengan mengimbas Kod QR aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan.

Baginda bertitah, pematuhan terhadap SOP masih diperketatkan dan tidak dibenarkan sebarang kontak sentuhan fizikal seperti bersalaman.

Jemaah yang menerima suntikan vaksin lengkap, sama ada dewasa, kanak-kanak atau warga emas dibenarkan hadir ke masjid. Namun, pegawai bertugas dan jemaah kekal dilarang hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan seperti berstatus PUI (individu di bawah siasatan), PUS (pesakit dalam pemantauan) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.

“Malah, golongan yang mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak, selesema dan sebagainya juga dilarang hadir ke masjid,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

(Foto hiasan)

Related posts

Leave a Comment