245 kes positif Omicron di Malaysia

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Sebanyak 245 kes positif Covid-19 varian Omicron dikesan di negara ini setakat hari ini di mana 157 daripadanya atau 64.08 peratus membabitkan jemaah umrah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 233 kes adalah jangkitan import manakala 12 kes lagi penularan tempatan di Sarawak.

Katanya, ia penambahan sebanyak 123 kes baharu yang dilaporkan hari ini kepada jumlah jangkitan pada 4 Januari lalu yang merekodkan 122 kes.

Sebanyak 44 kes positif Covid-19 disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan tujuh kes positif Covid-19 jangkitan tempatan di Sarawak disahkan varian Omicron oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Daripada 44 kes jangkitan import itu, 29 kes adalah daripada Arab Saudi, masing-masing lima kes dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Kazakhstan, tiga kes kes dari United Kingdom dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat dan Tanzania.

“Sementara itu saya baru sahaja menerima lagi keputusan WGS daripada IMR sebelum sidang media ini bermula. IMR telah mengesahkan 72 lagi kes positif Covid-19 dengan varian Omicron dan 59 daripadanya adalah dari Arab Saudi,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Related posts

Leave a Comment