King Sing tidak ada hak ‘takutkan’ UMNO

SEPANG 20 Mac – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,  Tiong King Sing tidak ada hak untuk mendesak UMNO menekan ketua pemuda parti itu, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu boikot pasar raya KK Mart.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO,  Dr Puad Zakarshi berkata, King Sing juga tidak ada hak untuk menakut nakutkan UMNO kononnya parti Melayu itu akan kehilangan sokongan rakyat.

“Jangan putar belitkan isu kalimah Allah sebagai isu kaum. Boikot bukan isu kaum. Sebab itu bila agensi umrah menipu walaupun ia milik orang Islam agensi itu tetap diboikot. Tiada kompromi bab Islam,” kata Puad melalui Facebooknya.

Puad mengingatkan King Sing supaya tidak membawa naratif lapuk dalam isu ini kononnya ia merosakkan keharmonian rakyat, hilang peluang pekerjaan dan bawa kesan buruk pada ekonomi negara.

Sebaliknya, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu, semua itu musnah sekelip mata jika pergaduhan agama tidak dikawal.

“KK Mart mesti bertanggungjawab. Mereka pihak terakhir menentukan produk itu terjual di premis mereka.

“Kementerian Pelancongan gantung lesen Emraz Travel kerana menipu. Kenapa Tiong tidak desak lesen KK Mart digantung sementara? Jangan main-main isu kalimah Allah,” kata Puad.

Semalam, King Sing dalam kenyataan melalui Facebooknya menyeru kepemimpinan UMNO tidak terus membiarkan Dr Akmal memperbesar-besarkan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Beliau berkata UMNO perlu memandang serius tindakan Akmal dan tidak membiarkannya menggunakan platform Pemuda UMNO dan statusnya sebagai pemimpin untuk mengejar agenda peribadi.

“Saya lebih bimbang sekiranya pemimpin kanan UMNO tidak mempedulikan gelagat dan sikap Akmal selaku Ketua Pemuda UUMNO, maka ini akan mengakibatkan rakyat terus berpandangan negatif terhadap UMNO, malah tidak mustahil UMNO terus ditolak oleh rakyat yang cintakan keamanan, perpaduan dan dahagakan politik matang,” katanya.

King Sing juga menggesa Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh supaya bertindak tegas terhadap Akmal yang juga Exco kerajaan negeri itu.

“Saya telah mendapat maklum balas bahawa rakyat dan akar umbi Melaka telah membuat aduan dengan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sikap angkuh Akmal.

“Jika tidak diperbetulkan segera, ini mungkin memberi kesan negatif kepada perkembangan politik Melaka pada masa hadapan,” tegasnya.

Akmal juga kata King Sing tidak sepatutnya “menunggang” isu berkenaan untuk meraih modal politik serta menjadi hero kerana ia boleh merosakkan keharmonian masyarakat.

Beliau juga meminta semua pihak bertenang dan tidak lagi “menyimbah minyak ke api” yang sedang mahu reda sebaliknya memberi peluang kepada pihak KK Super Mart membetulkan kesilapan.

Menteri itu percaya bahawa sebagai sebuah perusahaan perniagaan, KK Super Mart telah banyak menyumbang dan memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya dalam meningkatkan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan.

“Ini fakta dan realiti yang tidak dapat dinafikan. KK Super Mart mempunyai melebihi 800 cawangan di seluruh negara, dan pekerjanya terdiri daripada pelbagai kaum termasuk pekerja Melayu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment