Kematian akibat taufan Rai meningkat

MANILA 28 Dis. – Angka kematian akibat Taufan Rai yang melanda Filipina dua minggu lalu, meningkat kepada 389 mangsa, kata Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC).

Taufan Rai, ribut paling kuat melanda Filipina tahun ini, mula mendarat pada 16 Disember lalu, membawa hujan lebat, angin kencang, banjir dan ribut ke pulau Visayas dan Mindanao.

Ketika taufan mula beredar dari kepulauan dua hari kemudian, lebih 506,000 rumah rosak atau musnah, menurut data terkini NDRRMC.

“Sehingga kini, terdapat 314,676 individu mendapat bantuan di 1,179 pusat pemindahan,” kata jurucakap NDRRMC, Mark Timbal.

Kira-kira 256,000 mangsa lain mendapat perlindungan daripada saudara-mara mereka.

Lebih 1,100 orang cedera ketika ribut melanda, sementara 64 yang lain masih hilang, dengan pihak berkuasa menjangkakan jumlah individu yang terjejas menjangkau lebih empat juta.

Kebanyakan mangsa terjejas adalah di tengah dan selatan Filipina, khususnya di wilayah Cebu, Bohol dan kepulauan Dinagat serta pulau Siargao.

Katanya, biarpun tenaga elektrik sudah dipulihkan di 154 bandar dan bandar lain yang terjejas, beberapa kawasan kekal tanpa bekalan air dan talian komunikasi juga masih belum dipulihkan sepenuhnya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kesihatan, Maria Rosario Vergeire, berkata kebanyakan kes di Caraga dimasukkan ke hospital sementara laporan dari Cebu kini sedang disahkan oleh unit epidemiologi dan pengawasan serantau.

Katanya, Jabatan Kesihatan Filipina masih menyiasat punca wabak itu, yang disyaki disebabkan air tercemar.

Related posts

Leave a Comment