Mendahului, hargai warga emas

HARI ini ada urusan di sebuah bank. Tujuan sekadar mahu menukar kad debit yang akan tamat atau luput. Beberapa hari lalu kebetulan di Kajang, saya ke satu cawangan tetapi disuruh buat janji temu melalui QMS. Jika itu SOP musim Covid-19, ikut saja. Patuh SOP.

Tetapi waktu itu terlintas di hati, apa salahnya layani sahaja yang datang secara tiba-tiba atau kebetulan, apa tah lagi pelanggan yang berstatus warga emas. Bukan mudah warga emas nak keluar rumah.

Melalui aplikasi QMS, semalam saya buat janji temu atau ‘appointment’. Pilihan saya pukul 10.45 pagi hari ini. Lebih kurang pukul 10 pagi dah sampai di muka pintu bank di Bandar Baru Bangi.

Saya tunjuk kepada pengawal ‘tiket’ janji temu. Kebetulan ada juga seorang wanita warga emas yang saya rasa tidak buat appointment tetapi tujuan sama, mahu menukar kad. Wanita itu dibenarkan berurusan.

Lepas masuk, dihulur satu borang. Kena isi. Ada dua helai, empat muka rasanya. Ini satu bab yang kurang digemari lebih-lebih lagi era teknologi ini, semua online. Sudah lama tidak mengisi borang seumpama ini.

Apa pun saya dan wanita itu tekun mengisi borang. Mujurlah sudah ditanda ruang mana yang perlu diisi. Kurang sedikit beban membaca dan menulis. Tetapi semuanya perkara asas, nama, alamat, no akaun, no kad, no kad pengenalan dan satu dua lagi.

Entah kenapa diperlukan lagi maklumat itu. Rasanya semua itu sudah ada dalam simpanan bank. Sepatutnya beri kad dan IC, terus dapat kad baharu. Membazir kertas sahaja. Mungkin itu sudah menjadi SOPnya.

Kenapa tidak dipermudahkan? Kad kredit yang tamat tempoh biasanya dipos sahaja. Selesai melengkapkan maklumat di borang saya dan wanita warga emas diminta keluar bank dan beratur.

Aduhai, sekali lagi ikut SOP, tak boleh ramai dalam bank. Pelanggan tak lah ramai berbanding petugas. Maka beraturlah di luar. Ingatkan disediakan kerusi untuk duduk. Tidak ada.

Mujurlah saya dipanggil segera, tidak berdiri lama. Mungkin kerana ada appointment. Dapat duduk beberapa minit, saya dipanggil ke kaunter. Hulur borang, kad bank dan kad pengenalan.

Ambil cap ibu jari kiri kanan, tanda tangan dan selesai. Mudah saja. Yang susah menunggu itu.

Sebaik melangkah keluar, saya lihat wanita warga emas itu masih berdiri di situ. Aduhai. Kenapa tidak diberi kerusi atau dibenarkan masuk ? Adakah itu dikira satu ‘hukuman’ kerana datang tanpa janji temu? Atau patuh SOP?

Terdengar juga suara pelanggan lain, kenapa tidak diberi kerusi dan biarlah warga emas itu masuk dahulu. Akhirnya wanita itu duduk menanti di dalam kereta sementara menunggu giliran.

Mesejnya kenapa tidak disediakan kerusi, bukan sahaja kepada warga emas tetapi semua yang berdiri di luar. Berapa RM sangat sebiji kerusi berbanding hasil kutipan setiap urusan pelanggan.

Tidak dinafikan ada bank yang menyediakan kerusi. Namun bagi institusi yang tidak mampu berbuat demikian, berilah sedikit perhatian kepada warga emas.

Tidak terjejas urusan bank jika seorang dua warga emas diberi laluan sama ada masuk dan duduk dalam bank atau mendahului orang lain. Tidak akan berlaku ‘rusuhan’ jika sedikit kemudahan diberi kepada warga emas.

Terima kasih kepada bank yang memberi laluan kepada warga emas walaupun tidak ada janji temu. Saya alaminya di Maybank Bandar Baru Bangi dan juga warga emas lain yang terjah secara ‘walk in’.

Begitulah hendaknya. Berapa ramai lah warga emas yang berurusan setiap hari di institusi bank. Kita tidak selamanya muda. Ingatlah semua orang akan melalui kehidupan warga emas kecuali yang dipanggil Ilahi sebelum sampai usia emas. Justeru hargailah warga emas. Kita kan Keluarga Malaysia!

(Gambar hiasan tiada kena mengena dengan institusi/bank berkenaan)

Related posts

Leave a Comment