Belum cadang sekat umrah

PUTRAJAYA 28 Dis. – Kementerian Kesihatan (KKM) belum bercadang menyekat rakyat mengerjakan umrah, walaupun terdapat peningkatan kes Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang daripada melaksanakan ibadah itu.

Bagaimanapun, Kementerian tidak menolak kemungkinan mengarahkan jemaah menjalani kuarantin di pusat kuarantin atau tidak membenarkan rakyat mengerjakan umrah, jika keadaan di Arab Saudi merosot.

Begitu juga jika penularan Omicron dalam kalangan warganegara yang pulang daripada menunaikan ibadah itu berada di tahap membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata KKM sebaliknya akan memantau trend penularan kes Omicron di Arab Saudi sebelum sebarang keputusan lanjut mengenainya dimuktamadkan secara berperingkat.

Selain itu, katanya, individu yang mahu mengerjakan umrah disyaratkan supaya mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, sebelum mereka dibenarkan melakukan perjalanan ke Arab Saudi, berkuat kuasa serta-merta.

“Walaupun ada peningkatan kes (Omicron) mendadak di Arab Saudi yang kita sedang pantau, kita akan memperhebatkan usaha secara berperingkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Ketika ini jemaah yang pulang daripada mengerjakan umrah) dipakaikan peranti digital manakala kuarantin di rumah masih dibenarkan tetapi mereka digalakkan untuk menjalani ujian kendiri setiap hari sepanjang tempoh berkenaan.

“Ini kerana, ada kes yang hanya dikenal pasti positif selepas beberapa hari mereka pulang daripada mengerjakan umrah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment