Covid-19: Perjuangan belum berakhir

PUTRAJAYA 22 Nov. – Perjuangan Malaysia menentang Covid-19 belum berakhir, yang memerlukan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin

Katanya, Malaysia masih berdepan cabaran meskipun situasi Covid-19 semakin pulih dengan kes harian menunjukkan trend penurunan.

“Kita tahu bahawa ini adalah virus yang sangat degil, ia tidak akan ke mana-mana tetapi kita perlu terus melangkah ke hadapan,melakukan pembukaan semula dengan selamat namun pada masa yang sama memastikan sistem penjagaan kesihatan kita tidak pincang, tidak lumpuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan korporat Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Malaysia mencatat kes baharu Covid-19 di bawah angka 5,000 semalam dan hari ini.

Khairy turut mengingatkan mereka yang sudah mendapat janji temu untuk dos penggalak agar mengambil suntikan itu terutama golongan berusia 40 tahun dan ke atas dengan komorbiditi.

“Apa sahaja yang ditawarkan, terimalah. Ia bukan sahaja membantu anda dari segi memastikan perlindungan yang lebih baik tetapi juga membantu orang lain dengan mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Pada majlis hari ini, tujuh entiti termasuk syarikat berkaitan kerajaan, yayasan dan syarikat swasta menyampaikan sumbangan bukan tunai berjumlah RM41.56 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) seperti Tabung Kebajikan Pendidikan Yayasan Taiwan Buddha yang menyumbangkan pelbagai peralatan perubatan bernilai RM22.6 juta.

Khairy berkata KKM menerima kira-kira RM200 juta sumbangan bukan tunai daripada pelbagai pihak sejak Januari 2020.

Related posts

Leave a Comment