Brunei Darussalam catat 39 kes

BERAKAS 22 Nov. – Sebanyak 39 kes baharu jangkitan Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam dengan dua kluster baharu melibatkan sembilan kes yang membawa jumlah keseluruhan kes 14,630.

Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar berkata, terdapat tambahan 17 kes baharu kepada empat kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Pada masa yang sama, sebanyak 13 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD) hari ini, beliau memaklumkan semua kluster baharu adalah berkaitan dengan tempat kediaman.

Katanya, lapan kluster ditutup berikutan tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh selama 28 hari. Ini menjadikan jumlah kluster aktif adalah sebanyak 147.

Dr. Md Isham berkata , sebanyak 45 kes disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes sembuh meningkat kepada 14,107 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 425 kes.

“Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan sekarang, lima kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif. Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation),” katanya.

Tidak ada kes lain dikategorikan dalam Kategori 4, iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 1,591 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 587,766 ujian,” katanya.

Sementara itu, setakat petang semalam, sebanyak 728,626 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada penduduk Brunei Darussalam sejak 3 April lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 400,238 atau 93.1 peratus penduduk mendapat dos pertama manakala 328,388 atau 76.4 peratus telah mendapat dos lengkap vaksin Covid-19.

Related posts

Leave a Comment