Singapura lapor 1,461 kes baharu

SINGAPURA 22 Nov. – Kementerian Kesihatan (MoH) Singapura melaporkan 1,461 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari ini dengan lima lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan 253,649 kes dan 667 orang meninggal dunia.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 1,415 adalah kes dalam masyarakat dan enam kes import manakala 40 adalah kes di asrama pekerja asing.

Pada masa yang sama, lima kematian yang direkodkan melibatkan mereka yang berusia antara 61 hingga 105 tahun dan kesemua kecuali satu kes belum divaksin di samping pesakit mengalami pelbagai penyakit sedia ada.

Menurut MoH, seramai 1,421 pesakit masih dirawat di hospital di mana 204 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, 30 pesakit tidak stabil dan dipantau rapi di ICU, dan 62 sakit tenat dan perlu intubasi di ICU.

Seramai 2,127 pesakit dibenarkan pulang dengan 321 adalah warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Sementara itu, 85 peratus penduduk Singapura sudah lengkap dua dos vaksin, 86 peratus menerima satu dos manakala 23 peratus sudah disuntik dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment