Wakaf ASNB pelaburan dunia akhirat

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Permodalan Nasional Bhd (PNB), menerusi Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), melancarkan Wakaf ASNB yang membolehkan pelabur mewakafkan unit amanah mereka untuk manfaat komuniti secara berterusan.

Pengerusi PNB, Tun Arifin Zakaria, berkata perkhidmatan itu yang diperkenalkan pada bulan lalu bertujuan memudahkan pelabur bersedekah dengan unit amanah di ASNB secara berterusan setiap tahun, walaupun setelah meninggal dunia nanti.

Perkhidmatan Wakaf ASNB menyatukan konsep pelaburan dunia dan akhirat yang mana pelabur boleh mewakafkan unit amanah mereka untuk manfaat berterusan kepada komuniti.

Wakaf ASNB yang dilancarkan malam tadi berkonsepkan ‘muabbad’ iaitu wakaf berkekalan yang menyimpan dan melabur modal dana wakaf bagi mendapatkan pulangan setiap tahun.

Pulangan ini pula kemudiannya akan disalurkan kepada projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti dan misi kemanusiaan.

Dengan Wakaf ASNB, pewakaf layak mendapat potongan cukai pendapatan. Ia (juga) adalah pelengkap kepada khidmat perancangan kewangan ASNB yang merangkumi bermacam bentuk pelaburan untuk mencapai matlamat pelaburan yang berbeza-beza dalam kehidupan seorang pelabur.

Bagi memudahkan urusan harta pusaka, ASNB turut menyediakan kemudahan pewarisan melalui hibah amanah serta pengisytiharan amanah.

Dengan adanya Wakaf ASNB kini, PNB telah meliputi semua keperluan pelabur hingga ke peringkat membantu pelabur meneruskan amal kebajikan masing-masing hingga ke akhirat.

Transaksi wakaf di portal dan aplikasi mudah alih myASNB bermula pada 1 November 2021 bagi semua dana ASNB, kecuali ASN Imbang 1 mulai 1 Disember 2021.

Transaksi minimum Wakaf ASNB adalah sebanyak RM1,000 bagi unit amanah harga tetap dan harga berubah harga silam, dan 1,000 unit minimum bagi unit amanah harga berubah harga hadapan.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan Wakaf ASNB, pemegang unit boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 atau layari laman web Wakaf ASNB.

Related posts

Leave a Comment