Melaka pilih kerajaan baharu

MELAKA 20 Nov – Gabungan parti politik mana pilihan rakyat Melaka? Keputusannya dijangka diketahui malam ini atau tidak rasmi lewat petang ini.

Sebanyak 495,195 orang pengundi berdaftar berak memilih parti politik mana yang layak menerajui pentadbiran kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebanyak 217 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dibuka di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada jumlah pengundi berdaftar pada PRN Melaka ke-15, seramai 476,037 orang pengundi biasa yang akan mengundi hari ini, seramai 11,557 orang pengundi awal yang mengundi pada 16 November lalu, manakala 7,601  mengundi secara pos.

Berikutan pandemik Covid-19, proses mengundi perlu mengikuti SOP ketat yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelak jangkitan.

Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan pengundi perlu mengimbas kod respon pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke PDM.

Pengundi bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas, akan diasingkan serta-merta daripada pengundi yang lain dan mengundi di tempat khas (khemah khas untuk memangkah).

Ejen parti atau calon yang telah selesai bertugas atau pengundi yang telah selesai mengundi perlu segera meninggalkan pusat mengundi, dan pengundi dinasihatkan membuat semakan maklumat pengundian melalui aplikasi mySPR Semak atau di portal Semakan Daftar Pemilih SPR sebelum keluar mengundi.

Bagi mengawal jumlah pengundi yang datang ke pusat mengundi dalam satu-satu masa, peringkat waktu yang digalakkan adalah pada pukul 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 hingga 4.30 petang.

Bagi pusat penjumlahan rasmi undi, hanya lima orang penyokong bagi calon yang menang (keputusan tidak rasmi) dan tiga orang penyokong calon lain dibenarkan hadir manakala sebarang acara sambutan atau majlis keraian kemenangan calon tidak dibenarkan.

PRN Melaka menarik penyertaan seramai 112 calon dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 28 kerusi, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).

Daripada jumlah calon bertanding, seramai 96 orang adalah calon lelaki manakala baki 16 wanita dengan sembilan calon berusia 21 hingga 29 tahun, 21 calon (30-39 tahun), 35 calon (40-49 tahun), 36 calon (50-59 tahun) dan 11 calon (60 tahun ke atas) dengan calon tertua berusia 68 tahun.

PRN kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN, lima penjuru (5 DUN), empat penjuru (9 DUN), tiga penjuru (11 DUN).

Kerusi dijangka panas ialah DUN Asahan yang menyaksikan bekas ketua menteri Idris Haron berdepan pertandingan enam penjuru manakala Ketua Menteri Sulaiman Md Ali pula berdepan pertandingan tiga penjuru di DUN Lendu.

Di DUN Tanjung Bidara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Ab Rauf Yusoh ditentang Ermieyati Samsudin dalam pertandingan tiga penjuru, manakala seorang lagi bekas ketua menteri Adly Zahari berdepan pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Katil.

Related posts

Leave a Comment