BN menang majoriti dua pertiga

AYER KEROH 21 Nov. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kemenangan selesa itu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, berkata Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula menang dua.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan calon Bebas pula tidak memenangi sebarang kerusi yang ditandingi.

BN menang di DUN Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

PH pula menang di Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala PN menang di Sungai Udang dan Bemban.

Sementara itu, Abdul Ghani memaklumkan, jumlah individu keluar mengundi antara pukul 8 pagi hingga 5.30 petang adalah 326,068 atau 65.85 peratus daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar di Melaka.

Katanya, jumlah itu merangkumi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos yang sudah menjalankan tanggungjawab dalam PRN hari ini.

Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi itu merosot berbanding 84.7 peratus yang dicatatkan di Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selain tidak menepati sasaran asal SPR iaitu 70 peratus.

“Secara keseluruhannya, SPR berpuas hati dengan proses pengundian dan pengundi berdaftar telah dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.

“Selain itu, urusan penjalanan pilihan raya PRN Melaka Ke-15 telah dilaksanakan dengan baik mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment