Sekat aktiviti sosial jika kes naik

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Kerajaan tidak teragak-agak untuk menyekat kembali aktiviti sosial bukannya aktiviti ekonomi jika berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 selepas negara beralih ke tahap endemik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Mastura Yazid berkata, kerajaan hanya menggunakan satu prosedur operasi standard (SOP) apabila negara beralih ke tahap endemik iaitu protokol kesihatan umum.

Beliau berkata, jika terdapat kes mendadak dan meningkat, kerajaan melaksanakan langkah pencegahan dan memantau dengan sistem ‘heightened alert’ yang mana hanya terdapat dua kategori dalam sistem ini iaitu tinggi atau rendah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Abdullah mahu mengetahui sama ada kerajaan bercadang membuat satu pelan baharu memandangkan ramai yang mula tidak menjaga SOP kerana bebas bergerak menjalankan aktiviti sosial, sekali gus wabak COVID-19 boleh meningkat.

Mastura menjelaskan SOP berkenaan akan diputuskan sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri berdasarkan penilaian yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, dalam proses peralihan ke fasa endemik, ada beberapa indikator perlu dipenuhi sebelum usaha baharu diperkenalkan.

Indikator itu adalah kadar penggunaan katil keseluruhan mesti kurang daripada 30 peratus, wad rawatan rapi (ICU) kurang 10 peratus dan jumlah Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) kurang 30 peratus.

“Kapasiti makmal untuk menjalankan ujian pula perlulah melebihi 90 peratus; kadar positif dalam endemik mestilah kurang lima peratus; jumlah petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 mesti di tahap minimum iaitu kurang satu peratus; dan kadar kes Covid-19 yang teruk masuk ke wad perlu kurang daripada 0.5 peratus.

“Jumlah kematian purata tujuh hari pula disasarkan kurang daripada 0.8 peratus, dengan jumlah kematian harian kurang daripada 10 kes; insiden kes pula kurang 1,200 sehari dan vaksinasi perlu lebih 80 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment