Kes positif naik semula

PUTRAJAYA 10 Nov. – Jumlah kes jangkitan Covid-19 naik ke angka ‘6’ hari ini, iaitu 6,243 selepas semalam merekodkan 5,403 kes.

Sebelum itu, selama empat hari kes yang direkodkan sekitar 4,000 iaitu 4,922 kes pada 5 November diikuti 4,701 (6 Nov.), 4,343 (7 Nov.) dan 4,543 kes (8 Nov.).

Berikutan perkembangan ini, sejumlah 2,516,255 kes jangkitan direkodkan sejak pandemik bermula pada akhir Januari tahun lalu.

Untuk rekod, sebanyak 5,071 kes direkodkan pada 2 November disusuli 5,291 kes dan 5,713 kes pada 4 November lalu.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 78 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19, setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 29,427 kes

Menurut data KKM di laman sesawang COVIDNOW, 19 daripada 78 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead).

Kedah mencatatkan jumlah korban baru tertinggi seramai 19 orang, bersamaan 24.4 peratus kes kematian baharu Covid-19.

Kes kematian lain dilaporkan di Sarawak (13), Selangor (12), Kelantan (8), Sabah (8), Perak (7), Johor (5), Melaka (2), Terengganu (2), Negeri Sembilan (1) dan Kuala Lumpur (1).

Tiada kematian baharu dilaporkan di Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 61,803 kes aktif Covid-19 dilaporkan, termasuk 274 atau 0.4 peratus ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 268 (0.4 peratus) memerlukan alat bantuan pernafasan serta 5,500 dimasukkan ke hospital (8.9 peratus).

Sebanyak 5,311 kes sembuh turut dilaporkan dengan keseluruhan kes sembuh seramai 2,425,943 orang.

Related posts

Leave a Comment