Kosong kerusi jika lompat parti

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Lima calon Gerakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menandatangani akuan bersumpah (SD) dalam usaha meraih keyakinan dan kepercayaan pengundi di negeri berkenaan.

Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata langkah ‘kendiri’ diambil parti itu bermatlamat sebagai ‘perlindungan tambahan’ bagi mencerminkan mustahaknya nilai kesetiaan untuk ditonjolkan kepada rakyat.

Beliau berkata jika calon dari parti itu bertindak melompat parti seandainya menang PRN Melaka, individu itu dikehendaki mengosongkan kerusi ditandingi mereka sejajar persetujuan yang ditandatangani dalam SD berkenaan

“Mengapa kita katakan bahawa mereka kena kosongkan (kawasan ditandingi) kerana mengikut Artikel 10 kebebasan berpersatuan, maksudnya mereka boleh pilih mana-mana parti mereka nak bersama kerana akta (Anti Lompat Parti) belum diluluskan di Parlimen lagi.

“Sebab itulah, kita minta mereka tandatangani SD semalam dan hari ini, mereka bersama dengan kita untuk maklumkan kepada semua pengundi Melaka mengenai komitmen kita,” katanya pada sidang di sini hari ini.

Lima calon PRN Melaka dari Geakan yang bertanding dengan logo PN adalah Dhanesh a/l Basil (Asahan), Michael Gan Peng Lam (Ayer Keroh), Patrick Ng Chin Kae (Kesidang), Clarice Chan Ming Wang (Bandar Hilir) dan Fong Khai Ling (Kota).

Katanya dalam SD itu juga calon sama ada terpilih atau tidak sebagai wakil rakyat di kawasan ditandingi nanti mesti kekal setia dan tidak akan sesekali mengkhianati Gerakan, PN dan kepercayaan pengundi di Melaka.

Related posts

Leave a Comment