Iman jadikan 4 penjuru di Machap Jaya

SEREMBAN 7 Nov. – Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) membuat penampilan sulung dalam pilihan raya apabila mengumumkan calon tunggalnya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.

Berikutan penyertaan Iman, DUN Machap Jaya dijangka menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Iman.

Iman, sebuah parti politik yang mewakili masyarakat India Muslim mencalonkan seorang ahli perniagaan, Abdul Aziz Osani Kasim, 52.

Pada Pilihan Raya Umum lalu, kerusi DUN Machap Jaya dimenangi PKR dan kali ini PKR menurunkan calonnya Law Bing Haw, 40, sementara Ngwe Hee Sem mewakili BN dan Tai Siong Jiul mewakili Bersatu.

Presiden Iman, Mohammed Mosin Abdul Razak, berkata keputusan bertanding pada PRN Melaka bagi menguji kekuatan dan populariti parti itu selepas ditubuhkan dua tahun lalu, 2019.

“Kami tidak sangka tiba-tiba akan ada pilihan raya, oleh itu kami kena cuba kekuatan dan populariti parti. Sebagai sebuah parti politik, kita seharusnya mengambil bahagian dalam sesuatu pilihan raya. Bila sudah ada, kami ambil peluang bertanding.

“Buat masa ini kami bertanding satu kerusi, kami cuba dahulu, insya-Allah berjaya,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Iman bagi PRN Melaka, di Hotel S2, di sini, petang ini.

Mohammed Mosin yakin dengan reputasi dan kemampuan Abdul Aziz sebagai anak tempatan.

Menurut Abdul Aziz, beliau yakin untuk menghadapi PRN Melaka mewakili sebuah parti baharu dan yakin dapat diterima penduduk DUN berkenaan.

“Saya anak tempatan, saya duduk di kampung Melayu, di sebelah kampung itu pula kampung Cina, hubungan saya dengan penduduk sekitar juga baik dan mereka mengenali saya, ia memudahkan kempen saya nanti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment