Pemuda Pas tuntut penjelasan kerajaan, CIDB

Screenshot

SEPANG 3 April – Dewan Pemuda Pas Selangor menuntut penjelasan segera dan terbuka daripada pihak kerajaan dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berhubung insiden kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights kelmarin.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, Dewan Pemuda juga menuntut siasatan bebas dan telus tanpa campur tangan politik dan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang lalai, tanpa sebarang kompromi.

“Kami mengecam keras sikap tidak bertanggungjawab CIDB yang dilihat cuba berdolak-dalik. Kenyataan awal menafikan wujud aktiviti pembinaan, namun kemudian ditarik balik selepas bukti rakaman dashcam penduduk tempatan membongkar pembohongan itu.

Ini amat memalukan dan mengundang persoalan besar — siapa yang sedang dilindungi?,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Justeru Dewan Pemuda memibta kerajaan berhenti berselindung di sebalik kenyataan politik yang kabur.

“Rakyat tidak bodoh. Sikap ‘cover line’ yang ditunjukkan hanya mengundang kemarahan dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan dan integriti kerajaan sendiri,” katanya.

Beliau juga menyifatkan insiden kebocoran paip gas itu bukan sekadar kecuaian teknikal, tetapi petanda jelas kecuaian sistemik yang melibatkan kelemahan penguatkuasaan dan ketirisan maklumat oleh pihak berkuasa.

Pada masa yang sama tegasnya, keselamatan rakyat bukan bahan eksperimen atau bahan tawar-menawar politik.

Mohamed Sukri berkata, Dewan Pemuda akan terus memantau isu ini dan tidak teragak-agak untuk menggerakkan mobilisasi anak muda jika kerajaan terus bermain wayang dan gagal bersikap jujur.

Dewan Pemuda juga menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan menuding jari terhadap Petronas secara sembrono dan menjadikan syarikat minyak itu sebagai  kambing hitam untuk menutup kegagalan pihak lain.

“Jika benar Petronas cuai, buktikan secara profesional. Tetapi jika ini hanya helah untuk mengalihkan perhatian dari kecuaian kontraktor atau agensi penguatkuasa tempatan, maka kita tidak boleh berdiam diri,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment