BN ambil langkah elak lompat parti

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Semua 28 calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menandatangani perjanjian bagi mengelak tindakan lompat parti, kata Pengarah Pilihan Raya BN, Mohamad Hasan.

Beliau berkata ada beberapa perjanjian yang perlu ditandatangani membabitkan beberapa aspek undang-undang.

Katanya, melalui langkah itu, calon yang ingkar akan dikenakan tindakan undang-undang sesuai terma perjanjian dan ia selaras dengan usaha parti yang mahu mengekalkan kestabilan politik selepas pilihan raya .

“Ini juga sesuai dengan tema kita pada PRN kali ini iaitu Kestabilan Demi Kemakmuran,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan calon BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Mohamad menjelaskan, perjanjian itu adalah jaminan kestabilan yang ingin diperjuangkan BN dalam PRN Melaka.

Katanya, komitmen itu diharap dapat meyakinkan pengundi untuk memilih parti yang benar-benar komited memastikan kestabilan demi kesejahteraan Melaka dan kemakmuran Malaysia.

Ditanya tindakan yang akan diambil jika ada yang melompat parti selepas PRN, katanya perkara itu dibawa ke mahkamah dan terpulang tindakan yang dirasakan sesuai oleh mahkamah berdasar terma dalam perjanjian.

Katanya, langkah itu adalah yang kali pertama dilaksanakan BN, berikutan Akta Lompat Parti masih belum dapat dibentangkan di Parlimen dan mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO turut mengumumkan calon PRN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu,  Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri.

Sementara itu, Sulaiman mengingatkan calon BN supaya turun padang menemui pengundi dan bekerja keras supaya BN kekal menjadi pilihan.

Beliau yakin dengan kemampuan semua calon diturunkan BN dengan 24 orang atau 86 peratus adalah muka baharu.

Justeru , beliau meminta semua calon baharu memberikan komitmen dan komited sepanjang kempen pilihan raya.

“Turun ke akar umbi dan perkenalkan diri kepada pengundi. Kita ada banyak agenda dan perkara yang perlu dilakukan ialah mengembalikan kestabilan kepada Melaka.

Ada tugas menanti dan ini sungguh mencabar. Kita ada banyak agenda yang semuanya sudah berada di landasan tapi tertangguh kerana pembubaran DUN, ” katanya.

Related posts

Leave a Comment