Turki tarik balik ancaman usir diplomat

ANKARA 26 Okt. – Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan semalam menarik balik ancamannya untuk mengusir 10 duta Barat atas kenyataan bersama mereka menyuarakan sokongan terhadap seorang pemimpin masyarakat sivil yang dipenjarakan.

Keputusan itu dibuat selepas Amerika Syarikat dan beberapa negara lain yang terlibat mengeluarkan kenyataan yang sama menyatakan mereka menghormati konvensyen PBB yang memerlukan diplomat tidak campur tangan dalam hal ehwal dalam negeri negara tuan rumah.

Presiden Erdogan berkata kenyataan baharu itu “menunjukkan mereka sudah mengambil langkah undurkan diri daripada fitnah terhadap negara kita”, sambil menambah: “Mereka akan lebih berhati-hati sekarang.”

Mata wang Lira Turki mula mengukuh semula daripada paras terendah ekoran kelegaan bahawa Turki dan negara-negara Barat mengelak daripada ambang krisis diplomatik paling serius dalam pemerintahan Presiden Erdogan selama 19 tahun.

Kebuntuan tercetus susulan seruan bersama minggu lalu oleh kedutaan AS, Jerman, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Belanda, New Zealand, Norway dan Sweden agar Turki segera meleraikan kes undang-undangnya terhadap dermawan yang dipenjara, Osman Kavala.

Pemimpin masyarakat sivil dan ahli perniagaan berusia 64 tahun itu dipenjarakan selama empat tahun, tanpa sabitan.

Para penyokong menganggap Kavala sebagai simbol tidak bersalah akibat sikap semakin tidak bertolak ansur terhadap perbezaan pendapat politik oleh Presiden Erdogan menyusuli insiden percubaan tentera merampas kuasa pada 2016.

Bagaimanapun Presiden Erdogan menuduh Kavala membiayai gelombang tunjuk perasaan antipemerintah pada 2013 dan kemudian memainkan peranan dalam cubaan merampas kuasa.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang ditumpukan kepada krisis itu, Erdogan berkata “tugasnya sebagai ketua negara adalah untuk memberikan respons yang sewajarnya” terhadap pencabulan hak kedaulatan Turki oleh pihak asing.

“Badan kehakiman Turki tidak menerima arahan daripada sesiapa dan tidak berada di bawah perintah sesiapa,” kata Presiden Erdogan dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Katanya niat Turki bukan untuk menimbulkan krisis tetapi untuk melindungi hak, undang-undang, kehormatan, kepentingan dan hak kedaulatan negara itu.

Related posts

Leave a Comment