Bukti ‘keberkesanan’ Ivermectin terhad

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Bukti untuk menyokong penggunaan Ivermectin bagi merawat atau mencegah jangkitan Covid-19 setakat ini adalah sangat terhad, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali.

Bagaimanapun katanya, hasil kajian ujian Keberkesanan Rawatan Ivermectin ke atas Pesakit Covid-19 Berisiko Tinggi (Kajian I-TECH) dijangka dibentangkan kepada pihak berkepentingan Kementerian Kesihatan (KKM) akhir bulan ini.

Menurut beliau, kajian I-TECH telah lengkap pada proses merekrut pesakit seramai 500 orang dan kini dalam tempoh akhir analisis kajian.

“Pada 28 Julai lalu, Cochrane Library mengeluarkan kenyataan tidak menyokong penggunaan ubat Ivermectin bagi mencegah atau merawat Covid-19 berlandaskan analisis sistematik terhadap 14 kajian klinikal membabitkan 1,678 peserta.

“Cochrane Library (satu koleksi pangkalan data) merumuskan keperluan untuk data kajian yang lebih berkualiti diterbitkan untuk dianalisis,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Bashir Alias yang ingin mengetahui status Kajian I-TECH dijalankan KKM dan bukti saintifik di peringkat antarabangsa serta langkah diambil bagi mengatasi masalah penggunaan Ivermectin ketika ini.

Dr Noor Azmi berkata, ada kajian klinikal berskala besar baru-baru ini membabitkan pesakit Covid-19 tidak dirawat di hospital dan mempunyai gejala ringan seperti percubaan Ivermectin to Prevent Hospitalisations in Patients With Covid-19 (IVERCORCOVID19) di Argentina.

Katanya, percubaan bersama di Brazil mendapati Ivermectin tidak berkesan dalam mencegah kemasukan ke hospital.

Berhubung langkah diambil bagi mengatasi masalah penggunaan Ivermectin, Dr Noor Azmi berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM sentiasa memantau dan memastikan produk kesihatan serta ubat yang dipasarkan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dijual kepada masyarakat.

Related posts

Leave a Comment