76 kematian baharu direkodkan

PUTRAJAYA 21 Okt. – Jumlah kematian harian  akibat jangkitan Covid-19 di negara ini kekal bawah 100 apabila 76 kes direkodkan semalam di mana 14 kes membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (Brought-in-Dead atau BID).

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW, setakat semalam, jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 mencecah 28,138 atau kira-kira 1.2 peratus daripada keseluruhan 2,402,263 kes positif di Malaysia.

Jumlah keseluruhan kes BID pula meningkat kepada 5,680, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan korban akibat Covid-19.

Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) terus mencatat penurunan sejak awal September lalu.

Terdapat 666 kes aktif di ICU seluruh negara ketika ini, berbanding lebih 1,500 pada hujung Ogos lalu.

Ketika ini, kadar penggunaan ICU di hospital kerajaan seluruh negara ialah 61.9 peratus, kecuali dua negeri masih merekodkan kadar melebihi 70 peratus iaitu Perak 72.1 peratus dan Sarawak 81.3 peratus.

Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan turut mencatat penurunan sejak dua bulan lalu, dengan 329 kes setakat semalam berbanding lebih 900 kes pada awal Ogos lalu.

Pada masa sama, kadar penggunaan katil hospital bagi kes Covid-19 di seluruh negara ialah 66.9 peratus.

Related posts

Leave a Comment