PKRC di Putrajaya dan Klang

PUTRAJAYA 2 Mei – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dibuka di Hospital Putrajaya (HPJ) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) masing-masing dengan kapasiti 20 katil.

Langkah itu sebagai persediaan menghadapi peningkatan kes positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata PKRC Zon Wilayah Tengah (ZWT) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dijangka ditutup bulan ini berikutan bilangan pesakit yang semakin berkurangan.

“Kami telah siap PKRC di HTAR dan HPJ walaupun masih tidak digunakan kerana pesakit semakin berkurang.

“Kalau kita lihat 99.5 peratus pesakit Covid-19 adalah dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan gejala ringan manakala kemasukan pesakit kategori tiga, empat dan lima amat berkurangan.

“Jadi kami masih ada kemampuan untuk menerima pesakit dan untuk siap siaga sekiranya diperlukan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian kepada media selepas menyantuni petugas kesihatan di Hospital Putrajaya yang bertugas pada hari pertama Syawal, di sini hari ini.

Beliau berkata, penyediaan PKRC adalah kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Mercy Malaysia yang menyediakan peralatan seperti khemah untuk menampung pesakit sekiranya ada pertambahan kes.

MAEPS diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dengan pengambilan pesakit Covid-19 membabitkan pesakit bukan warganegara bagi kategori satu dan dua sebelum ditutup pada 15 Julai tahun yang sama.

Pada 9 Disember  2020, kerajaan mengaktifkan semula MAEPS sebagai PKRC susulan peningkatan kes Covid-19 dan ia dinaik taraf sebagai PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 pada 24 Januari dengan menerima pesakit kategori tiga iaitu pesakit dengan jangkitan paru-paru dan kategori empat iaitu pesakit dengan jangkitan paru-paru memerlukan oksigen.

PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS ditutup secara rasmi pada 8 Februari lalu susulan penularan Omicron dan sepanjang 14 bulan beroperasi seramai 166,072 pesakit Covid-19 telah dirawat di pusat itu.

Related posts

Leave a Comment