Kes harian Singapura hampir 4,000

SINGAPURA 20 Okt. – Kes jangkitan Covid-19 di Singapura hampir mencecah 4,000 apabila 3,994 kes baharu direkodkan semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan 154,725 kes.

Setakat tengah hari semalam, sebanyak tujuh lagi individu meninggal dunia disebabkan komplikasi virus itu menjadikan jumlah keseluruhan 246 kematian.

Pesakit yang meninggal dunia terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 57 dengan 90 tahun di mana tiga daripadanya tidak divaksin, seorang sudah mendapatkan satu dos vaksin manakala tiga sudah lengkap divaksin.

Enam kes mempunyai pelbagai penyakit yang lain.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), 3,994 kes baharu yang dilaporkan semalam adalah kenaikan daripada 2,553 kes yang dilaporkan pada Isnin, merupakan kali pertama dalam tempoh empat hari jumlah kes baharu meningkat.

Dalam kalangan kes baharu itu, 3,981 merupakan jangkitan tempatan, termasuk 3,480 kes dalam masyarakat dan 501 di asrama pekerja asing serta 13 kes import.

MoH menyifatkan kenaikan itu satu lonjakan kes yang biasa berlaku selepas hujung minggu tetapi akan memantau dengan teliti perkembangan itu.

“Meskipun demikian, sepanjang minggu lalu, kami menyaksikan aktiviti yang meningkat termasuk lebih ramai pengunjung di pusat beli-belah, orang ramai berkumpul di kawasan Orchard Road serta jumlah penumpang pengangkutan awam yang naik sedikit,” kata MoH.

Sementara itu, MoH menasihatkan semua orang terutama warga emas dan individu dengan pelbagai masalah penyakit yang lebih berisiko mendapat penyakit teruk supaya  mengehadkan aktiviti sosial dan keluar rumah hanya bagi urusan penting.

MOH menyatakan jumlah warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang belum divaksin dan dijangkiti Covid-19 meningkat sepanjang beberapa hari lalu, hingga mencecah lebih 100 sehari.

Related posts

Leave a Comment