Disoal siasat kerana kata kesat

SINGAPURA 20 Okt. – Seorang lelaki berusia 32 tahun dan seorang wanita berumur 46 tahun disiasat oleh polis kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat  terhadap kakitangan awam dalam dua insiden berasingan.

Dalam satu kenyatanan semalam,  insiden pertama melibatkan wanita itu berlaku pada 21 Ogos lalu selepas menerima aduan tentang peminuman arak di tempat awam selepas pukul 10.30 malam.

Sejurus tiba, polis mendapati wanita itu bergaul dengan tiga lelaki dan mereka tidak memakai pelitup muka.

Polis kemudian meminta mereka memakai pelitup dan tiga lelaki tersebut mematuhi arahan kecuali wanita berkenaan enggan berbuat demikian malahan didakwa menghamburkan kata-kata kesat.

Wanita itu kemudian ditangkap atas kesalahan berkelakuan liar dan menggunakan kata-kata kesat terhadap penjawat awam.

Insiden kedua pada 29 Ogos lalu apabila polis menerima panggilan meminta bantuan daripada seorang pegawai penguat kuasa jarak selamat dari Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Pegawai itu memberitahu polis seorang lelaki berusia 32 tahun duduk di bangku yang ditandakan pangkah di pusat penjaja Boon Lay Place Food Village dan menasihati lelaki itu bangun dari tempat duduk tersebut.

Bagaimanapun lelaki itu sebaliknya didakwa mencabar kuasa pegawai penguat kuasa jarak selamat itu untuk menguatkuasakan langkah jarak selamat dan memaki hamun pegawai tersebut.

Lelaki berkenaan dikenakan notis komposisi kerana tidak mematuhi langkah jarak selamat dan membantu siasatan kerana didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang kakitangan awam.

Kesalahan menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang penjawat awam atau pekerja perkhidmatan awam boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan dengan denda sehingga S$5,000, hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah melanggar peraturan di bawah Peraturan (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020, seperti langkah jarak selamat, boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi pesalah kali pertama, kesalahan berkelakuan liar boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Lain (Keamanan dan Gangguan Awam) dengan denda sehingga S$2,000, hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Jika didapati bersalah buat kali kedua dan seterusnya, pelaku boleh dikenakan denda sehingga S$5,000, dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Related posts

Leave a Comment