Perintah berkurung di Sydney berakhir

SYDNEY 11 Okt. – Setelah hampir empat bulan di bawah perintah berkurung, Sydney kini ‘bebas’ mulai tengah malam tadi dengan kafe, dan pub menjadi tumpuan bagi meraikan ‘kejayaan’ itu.

Aktiviti di gim dan restoran menyambut semula kedatangan para pelanggan yang sudah lengkap divaksin setelah 100 hari terkurung.

Lebih lima juta penduduk di Sydney diletakkan di bawah sekatan yang ketat sejak Jun untuk membendung penularan varian Delta yang cepat berjangkit. Varian itu sudahpun merebak ke Melbourne dan ibu kota, Canberra, sehingga memaksa penguatkuasaan perintah berkurung.

Bagaimanapun, penduduk diperingatkan supaya mengawal keghairahan mereka ketika keluar daripada perintah berkurung kerana jangkitan mungkin meningkat semula berikutan pembukaan semula itu.

Di bawah peraturan yang dilonggarkan, 10 individu lengkap divaksin boleh berkumpul di rumah manakala 100 orang boleh menghadiri majlis perkahwinan dan pengebumian.

Kedai runcit boleh dibuka dengan kapasiti yang dikurangkan sedang wilayah itu meningkatkan usaha untuk mencecah kadar vaksinasi sebanyak 80 peratus sekitar hujung bulan ini  apabila lebih banyak sekatan akan dilonggarkan.

Bagaimanapun , mereka yang belum divaksin mesti kekal duduk di rumah sehingga 1 Disember.

New South Wales pula menarik balik peraturan perintah berkurung selepas mencapai sasaran 70 peratus penduduk dewasa yang divaksin sepenuhnya.

Dengan vaksinasi semakin meningkat, Australia merancang untuk kembali kepada keadaan sediakala secara berperingkat dengan membenarkan penduduk lengkap divaksin untuk memasuki dan meninggalkan negara secara bebas mulai November.

Australia menutup sempadan antarabangsanya sejak Mac 2020, sekali gus membantu untuk mengekalkan jumlah kes koronavirus pada bilangan yang agak rendah dengan sekitar 127,500 kes dan 1,440 kematian.

Related posts

Leave a Comment