Kluster sambutan hari lahir di Sabah

KOTA KINABALU 30 Sept. – Satu lagi kluster baharu berkaitan aktiviti masyarakat dikesan di Sabah melibatkan Kluster Long Pasia di Sipitang yang berpunca daripada sambutan majlis hari lahir yang dihadiri penduduk kampung.

Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan Covid-19, Masidi Manjun berkata, setakat ini, 25 daripada 30 individu yang disaring positif Covid-19.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah kecewa atas ketidakpatuhan masyarakat dengan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan keselamatan yang dikeluarkan kerajaan.

“Kluster Long Pasia ini dan Kluster Mokodou di Ranau yang diisytiharkan semalam satu yang mengecewakan dalam usaha kita memerangi pandemik.

“Kedua kluster ini jelas menunjukkan masih ada penduduk yang tidak mematuhi SOP dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) secara serius. Kelalaian dan sikap acuh tak acuh telah mengakibatkan jangkitan COVID-19 melibatkan penduduk,” katanya dalam laporan harian Covid-19 hari ini..

Masidi menggesa pegawai daerah, ketua msyarakat di peringkat akar umbi memantau acara-acara sosial di kawasan masing-masing sekali gus memastikan pematuhan SOP.

Selain itu, hari ini Sabah merekodkan 993 kes positif baharu yang mana Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 116 kes.

Katanya, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah dengan 487 kes atau 49 peratus diikuti saringan bergejala 357 kes atau 36.0 peratus, (18) saringan kluster, lima kes saringan bersasar dan 126 kes melalui saringan lain-lain.

Daripada 993 kes yang berdaftar hari ini, 908 kes atau 91.44 peratus adalah pesakit dalam Kategori 1 dan 2; satu kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4 dan lapan kes dalam Kategori 5.

Related posts

Leave a Comment