Individu positif 523 kali masuk premis

ALOR SETAR 19 Sept. – Ada individu positif Covid-19 dikesan melakukan 523 kali daftar masuk ke premis, termasuk pasar raya, walaupun diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di Kedah, sepanjang minggu ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata jumlah daftar masuk berkenaan dikesan melalui aplikasi MySejahtera digunakan individu terbabit.

“Jumlah 523 ini bukan individu, tetapi bilangan daftar masuk. Individu terbabit sepatutnya menjalani kuarantin dan berada di rumah tetapi mereka dikesan keluar ke premis. Malah, 18 peratus daripadanya didapati adalah daftar masuk di pasar raya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Susulan itu, Khairy Jamaluddin meminta semua pemilik dan petugas di lokasi tumpuan agar sentiasa melakukan pengawasan ketat di pintu masuk premis masing-masing bagi menghalang individu bawah HSO daripada masuk.

Nama individu bawah HSO tetapi keluar itu akan dihantar kepada Jabatan Kesihatan Kedah untuk tindakan lanjut kerana mereka sepatutnya tidak boleh keluar.

“Pada masa sama, saya berharap Kedah dapat meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini berikutan terdapat 17 peratus penduduk dewasa didapati belum menerima suntikan dos pertama, dengan perhatian ialah daerah Baling dan Pendang yang terkebelakang dalam vaksinasi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kebanyakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara semakin lengang dan tidak seramai seperti sebelum ini, berikutan hampir 80 peratus populasi dewasa berkelayakan sudah menerima suntikan vaksin masing-masing.

Katanya, keadaan itu menyebabkan jumlah vaksin dibekalkan kepada PPV berkenaan adalah melebihi bilangan penerima yang hadir.

Related posts

Leave a Comment