Dos penggalak awal bulan depan

ALOR SETAR 19 Sept. – Kementerian Kesihatan (KKM) sedia memulakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 kepada orang awam, mulai awal bulan depan, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata kumpulan rentan atau golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti KKM akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan.

Antara mereka yang diberi keutamaan ialah warga emas yang mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan yang mempunyai penyakit berisiko tinggi, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah serta individu yang berada dan bekerja di pusat jagaan warga emas.

“Berdasarkan data kematian dan data pesakit kategori lima yang masuk ke unit rawatan rapi (ICU), kebanyakan mereka terdiri daripada golongan terbabit, termasuk warga emas yang ada masalah jantung, kencing manis, hipertensi dan sebagainya,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja dan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di sini, hari ini.

Khairy berkata, pihaknya masih mengadakan perbincangan bersama kumpulan pakar bagi menentukan usia individu yang bakal menerima dos ketiga.

Katanya, pemberian dos ketiga itu tidak bermaksud hasil pemberian dua dos vaksin yang diberikan sebelum ini tidak berkesan, sebaliknya ia bagi meningkatkan sistem imun individu.

Mengulas mengenai jenis vaksin dos ketiga, beliau berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat daripada pengeluar vaksin Covid-19 bagi didaftarkan di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Katanya untuk dos ketiga, kebenaran NPRA diperlukan sebab badan berkenaan hanya beri kebenaran untuk suntikan dua dos vaksin jenis Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca.

“Semua pengeluar vaksin ini telah diminta hantar maklumat dos penggalak kepada NPRA. Saya jangka dalam tempoh seminggu dua boleh diluluskan. Selepas itu saya akan buat pengumuman jenis vaksin apa, boleh campur atau tidak. Bekalan vaksin pula saya yakin mencukupi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment