Brunei Darussalam lepasi 5,000 kes

BERAKAS 19 Sept. – Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Brunei Darussalam kini mencecah 5,000 kes selepas 90 lagi kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 5,047.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, selain pertambahan kes, empat kluster baharu dikesan menjadikan 91 kluster masih aktif.

Bercakap pada Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD), Dr. Md Isham berkata, terdapat 23 kes tambahan kepada 13 kluster aktif yang sedia ada.

Kes-kes dalam kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, empat kluster baharu yang dikesan adalah Kluster 4771 yang merekodkan tiga kes; Kluster 4772 empat kes; Kluster 4785 tiga kes dan Kluster 4761 dengan tujuh kes.

Kesemua kluster baharu ini juga mengandungi kes-kes yang dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya.

Dua kluster ditamatkan selepas tiada kes baharu dilaporkan Kluster 1385 dan Kluster 1387 dalam tempoh 28 hari.

Manakala terdapat 50 kes yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Terdapat 122 kes sembuh dilaporkan hari ini yang membawa kepada jumlah kes sembuh 3,457 manakala jumlah kes aktif 1,558.

Dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, sembilan kes adalah dalam keadaan kritikal dengan lapan daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO).

Sementara itu, 21 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Related posts

Leave a Comment