AS nasihat elak lawat negara tertentu

WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengeluarkan amaran supaya jangan melakukan perjalanan ke Brunei, Sri Lanka dan Jamaica setelah jumlah kes Covid-19 di negara-negara tersebut meningkat.

CDC pada Selasa menaikkan amaran perjalanannya ke “Tahap 4: Sangat Tinggi” bagi negara-negara tersebut, menasihatkan warga Amerika supaya mengelakkan perjalanan ke sana.

Brunei semalam melaporkan 116 jangkitan baharu , menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,683 kes.

Sri Lanka melaporkan hampir 3,000 kes baharu pada Selasa, manakala Jamaica pula mencatatkan sekitar 800 jangkitan baharu pada Isnin.

Malaysia, Thailand dan Bangladesh juga merupakan antara negara-negara di bawah notis kesihatan perjalanan Tahap 4 CDC.

CDC juga menurunkan tahap penilaiannya bagi Belanda, Malta, Guinea-Bissau dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari “Tahap 4: Sangat Tinggi” ke “Tahap 3: Tinggi”, yang menggesa warga Amerika yang tidak divaksin supaya mengelakkan perjalanan ke destinasi-destinasi tersebut.

CDC juga menaikkan Australia dari “Tahap 1: Rendah” ke “Tahap 2: Sederhana”.

Singapura juga diletakkan pada Tahap 2, di mana para pelawat digesa supaya mendapatkan vaksin lengkap sebelum melakukan perjalanan ke negara-negara di tahap penilaian itu.

Negara-negara lain di bawah kategori Tahap 2 termasuk India, Korea Selatan, Pakistan dan Mesir.

CDC kini menyenaraikan sekitar 80 destinasi dalam Tahap 4 daripada sekitar 200 kesemuanya, termasuk beberapa wilayah di Amerika Syarikat.

Related posts

Leave a Comment