“Kami mahu vaksin bukan janji”

GENEVA 9 Sept. – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi menggesa negara kaya yang mempunyai bekalan vaksin Covid-19 berlebihan untuk tidak menawarkan dos penggalak atau “booster shot” sehingga akhir tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata ketika 70 peratus negara berpendapatan tinggi telah mencapai kadar vaksinasi 40 peratus populasi, tiada satu pun negara berpendapatan rendah mencapai sebarang sasaran.

Beliau memberitahu sebanyak 5.5 billion vaksin sudah didaftarkan tetapi 80 peratus melibatkan negara-negara berpendapatan tinggi.

Bercakap pada taklimat media Covid-19 di sini 8 September (waktu Geneva), beliau berkata, hampir 90 peratus negara berpendapatan tinggi kini telah mencapai sasaran 10 peratus, dan lebih 70 peratus telah mencapai sasaran 40 peratus.

Bagaimanapun tidak ada satu pun negara berpendapatan rendah yang mencapai mana-mana sasaran.

“Itu bukan salah mereka. Kami telah mendengar alasan daripada pengeluar dan beberapa negara berpendapatan tinggi mengenai bagaimana negara berpendapatan rendah tidak mendapat vaksin.

“Hampir setiap negara berpendapatan rendah sudah mendaftarkan vaksin yang mereka miliki, dan mereka memiliki pengalaman luas dalam kempen vaksinasi berskala besar untuk polio, campak , meningitis, demam kuning dan banyak lagi.

“Tetapi oleh kerana pengeluar telah mengutamakan atau diwajibkan secara undang-undag untuk memenuhi perjanjian dua hala dengan negara-negara kaya yang bersedia membayar harga tinggi, negara-negara berpendapatan rendah telah kehilangan cara untuk melindungi rakyatnya,” kata Tedros.

Pengeluar menurut Tedros berjanji memberi keutamaan kepada COVAX dan negara berpendapatan rendah.

“Kami tidak mahu lagi sebarang janji. Kami hanya mahu vaksin”, katanya.

Menurut Tedros, WHO menyasarkan setiap negara sekurang-kurangnya dapat melakukan vaksinasi melibatkan 10 peratus penduduk mereka penghujung bulan ini, atau sekurang-kurangnya 40 peratus pada akhir tahun dan 70 peratus penduduk dunia pada pertengahan tahun depan.

Tedros sebelum ini telah meminta moratorium terhadap dos ketiga vaksin Covid-19 sehingga akhir bulan September.

Bagaimanapun Amerika Syarikat dan beberapa negara lain telah mengumumkan pelan menawarkan dos ketiga terhadap populasi yang mempunyai masalah imunisasi.

Related posts

Leave a Comment