SG4 merentasi politik, sedia terima pandangan

SHAH ALAM 22 Okt. – State-Government 4 (SG4), blok kerjasama empat negeri ditadbir Pas terbuka untuk menerima pandangan pelbagai pihak termasuk veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, penubuhan SG4 adalah merentasi politik, selain bukan bertujuan untuk ‘berperang’ dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kita terbuka untuk dapatkan nasihat atau pandangan termasuk Lim Kit Siang… ia menunjukkan betapa terbukanya SG4, merentasi politik. Kalau nak cakap politik 24 jam, saya rasa semua negeri di Malaysia tidak boleh bergerak ke hadapan.

“Perkara ini bukan politik malah saya pernah sebut dalam ucapan pada majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa kita berdepan dengan pelbagai isu untuk ditangani secara bukan partisan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu tiga lagi pemimpin negeri ditadbir Pas iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

SG4 diwujudkan September lalu, di mana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi penasihatnya.

Ahmad Samsuri berkata, SG4 akan memfokuskan kepada lima kluster iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan; pertanian dan keselamatan makanan; perundangan dan modal insan; serta sumber dan pendapatan baharu.

Beliau berkata, perbincangan turut diadakan bersama rakan sejawat untuk memaklumkan kepada barisan Exco masing-masing dan agensi berkaitan berdasarkan ketetapan kluster.

“Antara diberi perhatian ialah berhubung keselamatan makanan untuk membantu indeks di peringkat negeri dengan kerjasama bersama Persekutuan juga tidak boleh dihentikan dalam aspek terbabit.

“Selain itu antara penekanan turut diberikan terhadap pembangunan yang patuh syariah melalui kluster yang ditetapkan,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, pembabitan Dr Mahathir dalam SG4 mampu menjadi nilai tambah, lebih-lebih lagi bekas Perdana Menteri itu mempunyai hubungan dengan pelabur luar termasuk dari Korea, China, Jepun dan Asia Barat.

Katanya, ada pelabur yang dihubungi ingin mengetahui kemudahan yang boleh ditawarkan di negeri, sekali gus boleh memberi peluang kepada pembangunan di negeri SG4.

Beliau juga menjelaskan SG4 masih mempunyai kerjasama berterusan dengan Kerajaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, Dr Ahmad Samauri juga menjelaskan Dr. Mahathir tidak akan mewakili SG4 sama ada Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis dalam urusan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, walaupun Dr Mahathir merupakan penasihat kepada SG4 namun urusan rundingan termasuk menarik pelaburan asing melibatkan Menteri Besar dan Exco masing-masing.

“Tidak timbul menzahirkan Dr Mahathir untuk ke hadapan berkomunikasi dengan kerajaan pusat, tidak berlaku macam itu,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment