Kes kembali lepasi 20,000

PUTRAJAYA 31 Ogos – Jumlah kes jangkitan Covid-19 meningkat semula dengan merekodkan 20,897 kes baharu berbanding 19,268 semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 1,746,254.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 282 kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia kini ialah 16,664 orang.

Katanya, daripada 20,897 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 422 kes (2.0 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala 20,475 kes (98.0 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Secara keseluruhan, 15,371 kes (73.6 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 1,005 dengan 464 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selain itu, kes sembuh pula merekodkan seramai 18,465 pesakit telah pulih, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih ialah 1,461,727.

Menurut Dr Noor Hisham, sejumlah 98 kematian adalah kes kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) membabitkan 63 rakyat tempatan dan 35 warga asing.

Daripada 282 kes kematian hari ini, 139 kes berlaku di Selangor , 52 kes di Johor, 21 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 15 di Sabah, 12 di Pulau Pinang, 11 di Kedah, sembilan di Kelantan, tujuh di Pahang, lima di Melaka.

Masing-masing tiga kes di Negeri Sembilan dan Perak, dua  di Terengganu, dan masing-masing satu  di Perlis, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya

Related posts

Leave a Comment