Haramkan pelitup memudaratkan

TANJONG 17 Mei – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan penjualan pelitup muka yang mengandungi ‘nanopartikel graphene’ yang didakwa boleh memudaratkan kesihatan.

Presiden CAP, Mohaideen Abdul Kadir berkata, kerajaan Kanada telah pun mengambil tindakan melarang penggunaan pelitup muka yang mengandungi ‘graphene’ kerana kemungkinan berisiko terhadap penyedutan partikel ‘graphene’.

Katanya, disebabkan pemakaian pelitup muka adalah barisan pertahanan kritikal melawan Covid-19 dan penyakit bawaan udara lain, kehadiran nanopartikel dalam pelitup muka tidak seharusnya menjadi risiko kesihatan tambahan kepada pengguna

CAP dalam satu kenyataan meminta kerajaan menetapkan piawaian bagi pelitup muka dan pengguna perlu mengambil iktibar dengan memilih pelitup muka yang diperbuat daripada kapas untuk mencegah penyebaran jangkitan.

‘’Graphene’ adalah novel nanomaterial yang merangkumi zarah-zarah halus yang mempunyai sifat antivirus dan antibakteria.

Menurut kajian katanya, pelitup muka dilapisi ‘graphene’ berpotensi menyebabkan keracunan paru-paru pada haiwan.

Meskipun berpotensi menyebabkan risiko kesihatan, Mohaideen berkata, berjuta pelitup muka yang mengandungi nanographene dihasilkan setiap hari dan dijual di seluruh dunia.

“Pelitup muka yang mengandungi graphene boleh dikenal pasti dengan lapisan warna gelap pada bahagian dalam pelitup muka tersebut. Ia mudah dikenal pasti sebab ia berwarna kelabu,” katanya.

Mohaideen berkata, apabila pelitup muka itu lusuh, serpihan ‘nanographene’ mengelupas dan boleh disedut ke dalam paru-paru.

Katanya, pengguna pelitup muka yang mengandungi graphene itu mengalami kesukaran bernafas, kerengsaan kulit dan berasa seperti bernafas dalam bulu kucing.

Related posts

Leave a Comment