Sakaran Dandai meninggal dunia

KOTA KINABALU 30 Ogos – Bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai disahkan meninggal dunia sekitar pukul 6 pagi ini.

Perkhabaran itu disahkan anak ketiganya, Nasir Sakaran yang dimaklumkan  oleh pihak hospital pada pukul 6 pagi.

Jenazah akan diuruskan di Masjid Negeri dan akan dimakamkan di Makam Pahlawan.

Terdahulu, Allahyarham, 91 tahun, dilaporkan dimasukkan ke sebuah hospital swasta sejak 18 Ogos susulan dijangkiti Covid-19.

Sakaran, berasal dari Semporna, berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-8 bermula 1 Januari 1995 hingga 31 Dis 2002.

Allahyarham  sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ke-8 pada 1994.

Dilahirkan pada 15 April 1930 di Kampung Air, Semporna, Allahyarham  mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Semporna, sebelum menyambung pelajaran di Government Vernacular School Semporna (kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna).

Allahyarham juga merupakan penerima Ijazah Doktor Kehormat Falsafah (Pengurusan) UMS pada 2004.

Dalam kerjayanya, Sakaran memulakan tugas dalam perkhidmatan awam sebagai Kerani Anak Negeri (Native Clerk) di Pejabat Daerah Semporna pada 31 Ogos 1948, dan memain peranan penting membangunkan rakyat di peringkat akar umbi melalui perkhidmatannya antaranya di Lahad Datu dan Pejabat Daerah Tuaran.

Pada 1960, Sakaran merupakan Ketua Anak Negeri paling muda dilantik ketika itu dan beliau sering memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan di Semporna khasnya, kerana pada masa itu hanya 35 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur bersekolah, dihantar ke sekolah.

Allahyarham kemudiannya telah membantu dalam mendirikan lebih banyak Sekolah Rakyat untuk meningkatkan taraf pendidikan penduduk Sabah, sebelum bersara daripada perkhidmatan awam pada 1967.

Sakaran pernah terlibat dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan antaranya Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah dan mengasaskan Yayasan SABDI yang memfokuskan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendidikan serta menyebar kesusasteraan Islam.

Dalam arena politik, Sakaran pernah menjadi Timbalan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada 1986, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO kedua-duanya pada 1993.

Allahyarham menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semporna pada 1976 dan Ahli Parlimen Silam pada 1978, dan kemudian ADUN Sulabayan pada 1985 sebelum mempertahan kerusi berkenaan selama lapan penggal.

Sakaran juga pernah menganggotai Kabinet Sabah bermula 1971 antaranya sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Sabah; Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, dan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi.

Pada 17 Mac 1994, beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah kelapan, kemudian pada 1 Jan 1995 menjadi Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan.

Allahyarham menjadi Yang Dipertua Negeri Sabah selama dua penggal sehingga 31 Disember 2002.

Related posts

Leave a Comment