Ketegangan memuncak, AS serang Iran

TEHRAN – Gencatan senjata musnah, ketegangan terus memuncak apabila Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baharu ke atas Iran selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan yang lebih tegas.

Menurut Komando Pusat AS (CENTCOM), operasi ketenteraan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap beberapa insiden yang menyasarkan kapal dagang dan anak kapal awam di Selat Hormuz.

CENTCOM memaklumkan serangan itu menyasarkan sistem pertahanan udara, kemudahan pengawasan pantai, peluru berpandu darat ke udara, peluru berpandu antikapal serta tapak pelancaran dron milik Iran.

Beberapa letupan kedengaran di kawasan pesisir selatan negara itu, termasuk di bandar pelabuhan Bandar Abbas, Sirik dan Pulau Qeshm, selain hab minyak utama Pulau Kharg manakala ada laporan menyebut kemudahan pelabuhan dan bot nelayan terkena kesan serangan, manakala beberapa individu cedera akibat serpihan letupan.

Tentera AS juga menyatakan lebih 60 bot laju Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menjadi sasaran dalam usaha mengurangkan keupayaan Tehran mengancam laluan perkapalan antarabangsa.

Tindakan tersebut menyusuli beberapa insiden melibatkan kapal dagang dan kapal tangki yang diserang ketika melalui Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak dunia.

Washington mendakwa serangan terhadap kapal-kapal berkenaan melanggar gencatan senjata yang dimeterai antara kedua-dua negara sebelum ini.

Sementara itu, tebtera Iran mengecam serangan AS sebagai satu tindakan pencerobohan dan memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas sekiranya Washington meneruskan tindakan ketenteraan terhadap negara itu.

Related posts

Leave a Comment