Singapura catat kematian ke-32

SINGAPURA 21 Mei – Seorang lelaki berusia 70 tahun yang dikaitkan dengan kluster Hospital Tan Tock Seng (TTSH) meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19.

Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan lelaki warga Singapura yang dikenal pasti sebagai Kes 62687 itu adalah kes kematian ke-32 akibat jangkitan itu dan yang pertama sejak 1 Mei.

Dia mempunyai sejarah menghidap barah paru-paru dan pemfibrilan atrium, iaitu degupan jantung tidak normal dan sudah dirawat di Wad 9D sejak 22 April.

Jangkitan Covid-19 yang dialaminya pula disahkan pada 30 April.

Kali terakhir kes kematian dicatat di Singapura adalah pada 1 Mei, apabila seorang wanita berusia 88 tahun yang juga dari kelompok TTSH meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan virus itu.

Wanita rakyat Singapura itu, menghidap barah, tekanan darah tinggi, masalah jantung, angin ahmar dan hyperlipidaemia, iaitu paras tinggi kolestrol dalam darah.

Dia dirawat di Wad 9D sejak 14 April dan disahkan dijangkiti Covid-19 pada 28 April.

Kluster TTSH adalah kluster pertama Singapura di hospital dan yang kedua terbesar, dengan 46 kes.

Kes terbaru dalam kluster itu adalah seorang wanita warga Singapura 80 tahun yang juga dirawat di Wad 9D sejak 5 April. Dia terkait kelompk TTSH pada 14 Mei.

Related posts

Leave a Comment