Singapura selangkah demi selangkah

SINGAPURA 30 Ogos – Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengingatkan bahawa kes jangkitan Covid-19 tidak mungkin merosot ke paras sifar sekalipun Singapura melaksanakan langkah-langkah sekatan bagi tempoh yang panjang.

Katanya, dengan varian Delta yang lebih mudah berjangkit, Singapura perlu bersiap sedia menempuhi masa depan di mana virus itu akan menjadi endemik walaupun vaksinasi berhasil memperlahankan jangkitan dan penularan Covid-19.

Beliau berkata walaupun jumlah kes koronavirus sudah meningkat pada minggu lalu, jumlah individu yang sakit kekal stabil.

“Penting untuk kita mengekalkan paras ini, supaya kita dapat melonggarkan sekatan dan menghubungkan semula Singapura dengan negara-negara lain,” katanya dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan semalam.

Menurut Lee, Singapura tidak akan membuka sempadannya secara “mendadak” seperti sesetengah negara, sebaliknya akan melakukannya dengan berhati-hati.

Singapura katanya akan bergerak “selangkah demi selangkah” setelah melalui titik kritikal – di mana 80 peratus penduduk sudah menerima dua suntikan vaksin bagi melindungi diri mereka daripada koronavirus.

Lee berkata, Singapura telah berjaya mengharungi krisis ekonomi paling buruk sejak ia meraih kemerdekaan dan sedang ekonomi global beransur pulih, Singapura juga mesti “mengubah strateginya”.

“Ia bukan lagi mengenai penggunaan rizab untuk menyelamatkan kita. Ia mengenai menjana pertumbuhan baru, pekerjaan baru dan kemakmuran bagi masa depan,” katanya.

Menurut Lee, Singapura mesti melindungi statusnya sebagai sebuah hab perniagaan, menarik lebih banyak pelaburan asing dan mengembangkan syarikat-syarikat Singapura dan para usahawan.

Bagaimanapun pertumbuhan ekonomi hanya satu huraian saja – supaya rakyat Singapura dan anak-anak mereka boleh menjalani kehidupan yang lebih baik.

Related posts

Leave a Comment