ISTANBUL – Hampir 6,000 pelaut masih terkandas di dalam ratusan kapal yang tidak dapat meninggalkan Teluk dengan selamat susulan serangan berterusan terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz, sepanjang dua hari lalu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Arsenio Dominguez mengutuk serangan itu dan memberi amaran, pelaut yang tidak bersalah sekali lagi berdepan bahaya yang amat serius.
“Tiada seorang pun pelaut sepatutnya perlu mempertaruhkan nyawa hanya kerana menjalankan tugas mereka,” katanya.
Selat Hormuz, yang terletak di antara Iran dan Oman, antara laluan perkapalan paling strategik di dunia kerana menghubungkan Teluk dengan Teluk Oman dan Laut Arab.
Dominguez menggesa negara pendaftar kapal, pemilik kapal, pengendali kapal serta pihak berkuasa berkaitan supaya tidak mendedahkan pelaut kepada risiko yang tidak perlu dengan membenarkan kapal melalui Selat Hormuz selagi keselamatan dan perlindungan anak kapal tidak dapat dijamin.
Katanya, serangan terbaharu itu meningkatkan lagi ketakutan, ketidaktentuan dan tekanan psikologi dalam kalangan kru yang masih terkandas.
Beliau turut menggesa semua negara yang terlibat agar menunjukkan tahap kawalan diri yang maksimum, meredakan ketegangan tanpa berlengah serta memudahkan kapal yang masih terkandas di Teluk berlepas dengan selamat.
Bulan lepas bahawa sebanyak 46 serangan terhadap perkapalan antarabangsa di Selat Hormuz dan kawasan sekitarnya disahkan sejak 28 Februari iaitu tarikh konflik bermula, dengan mengorbankan 14 pelaut.
Nnnn
