KUALA LUMPUR 9 Julai – Pengundi yang berpindah tempat tinggal digalakkan menukar alamat mengundi ke kawasan tempat mereka bermastautin bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih benar-benar mewakili komuniti setempat.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom, berkata pengundi sewajarnya memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen yang mewakili kawasan tempat tinggal mereka.
“Undilah di tempat kita bermastautin. Bukan sahaja lebih mudah untuk kita, malah sistem kerajaan kita berasaskan seorang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau Ahli Parlimen yang mewakili penduduk di kawasan itu.
“Kalau kita tinggal di kawasan terbabit, kitalah yang sepatutnya menentukan siapa yang mewakili kita, bukannya mengundi di kawasan yang terletak ratusan kilometer dari tempat kita tinggal,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Fokus 30 terbitan Bernama Radio, di sini hari ini.
Beliau berkata, pengundi perlu terlebih dahulu mengemas kini alamat pada kad pengenalan sebelum membuat pertukaran alamat mengundi yang kini boleh dilakukan secara dalam talian.
Menurut beliau lagi, daftar pemilih yang kini dikemas kini setiap bulan, membolehkan pertukaran alamat mengundi diproses lebih cepat berbanding sebelum ini yang dibuat setiap tiga bulan.
Beliau tidak menolak faktor sentimental terhadap kampung halaman mungkin menyebabkan sebahagian pengundi enggan menukar alamat mengundi, namun menegaskan langkah itu penting bagi memastikan sistem perwakilan kawasan berfungsi dengan lebih berkesan.
