Dua kematian, 106 kes baharu

BANDAR SERI BEGAWAN 26 Ogos – Dua lagi pesakit yang sedang mendapatkan rawatan Covid-19 meninggal dunia hari ini dan 106 kes baharu direkodkan di Brunei Darussalam menjadikan jumlah keseluruhan tujuh kematian dan 2,265 kes.

Menteri Kesihatan Dr Mohd Isham Jaafar berkata, kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 52 tahun yang dilaporkan positif pada 25 Ogos dan mengalami pendarahan ‘intracerebral haemorrhage’ dan tidak dikategorikan kematian Covid-19.

Kematian kedua, lelaki tempatan berusia 51 tahun yang dilaporkan positif pada 17 Ogos dan mengalami jangkitan paru-paru selepas dijangkiti Covid-19.

Bercakap pada sidang media situasi terkini Covid-19 Brunei Darussalam, Dr Mohd Isham berkata, dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster 1888 dengan 11 kes dan Kluster 2085 sebanyak lapan kes. Jumlah kluster aktif kini 42.

Sebanyak 42 kes tambahan melibatkan 13 kluster direkodkan manakala 47 kes dalam siasatan mencari punca jangkitan.

Jumlah kes sembuh pula meningkat kepada 578 selepas 41 lagi kes dilaporkan sembuh manakala kes aktif pula 1,678.

Daripada jumlah kes aktif itu, lima kes dalam keadaan kritikal di mana empat memerlukan bantuan pernafasan dan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart / lung machine (ECMO).

Sebanyak 30 lagi kes dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi

Dr. Mohd Isham juga memaklumkan hasil ujian makmal terhadap 20 sampel menunjukkan kesemuanya adalah dari varian Delta.

Beliau bagaimanapun meminta penduduk tidak cemas sebaliknya mematuhi langkah-langkah kawalan yang ditetapkan termasuk memakai pelitup muka jika di luar rumah atau di tempat awam, kerap mencuci tangan dan mengambil vaksin.

Related posts

Leave a Comment